Bijian chia atau lebih dikenali sebagai chia seeds adalah sejenis bijian yang diperoleh dari pokok chia (Salvia hispanica). Bijian ini banyak didapati di kawasan Mexico dan Guatemala. Dikatakan puak Mayan dan Aztec telah menganggap bijian ini sebagai makanan yang memberikan kekuatan luar biasa.
Bijian chia dikenali sebagai ‘super food’ kerana nilai nutrisinya yang tinggi. Ia mengandungi mineral dan serat yang tinggi dan sumber lemak omega-3 yang amat bagus. Pengambilan bijian chia secara berterusan dalam jangka waktu yang panjang mampu merendahkan LDL (lipoprotein berketumpatan rendah) dan meningkatkan HDL (lipoprotein berketumpatan tinggi) yang baik untuk kesihatan kardiovaskular kita.
Bijian chia juga bersifat ‘mucillaginous’ (menghasilkan lendiran) seperti bendi. Apabila direndam, bijian ini akan menyerap air sehingga 9-10 kali dari beratnya dan menghasilkan lendiran likat seperti gelatin. Sebab itulah bijian ini popular untuk dijadikan ‘ejen’ menguruskan badan. Kita akan terasa kenyang lebih cepat dan lebih lama apabila mengambil bijian ini dalam diet kita.
Puak Chumash yang tinggal di California Tengah juga dikatakan mengambil bijian ini sebagai pemangkin tenaga (energy booster) untuk menjadi penyampai berita dan barangan antara kampung-kampung. Kini, kita mengetahui bijian chia memperlahankan penghadaman dan memberikan pelepasan glukosa yang perlahan dan seragam untuk tenaga yang berterusan.
Ciri ini adalah bagus untuk pesakit diabetes supaya tidak mengalami kejutan gula yang tinggi (sugar spike). Pengambilan bijian chia membantu kita untuk mendapatkan gula pada kadar yang seragam dalam darah. Terdapat banyak kajian mengenai kebaikan bijian chia terhadap pesakit diabetes.
Namun, ini tidaklah bermaksud pesakit diabetes tidak perlu mengambil ubat dan tidak perlu menjaga pemakanan seperti yang sepatutnya. Bijian chia bukanlah ubat bagi diabetes, bukan juga ubat ajaib untuk penyakit kardiovaskular. Paling utama, bukan bahan ajaib yang boleh membuatkan anda kurus!
Bijian chia sebenarnya mempunyai kalori yang agak tinggi (empat kali lebih dari nasi pada amaun yang sama). Jika kita berniat untuk kurus, pengambilan bijian chia cuma mengawal nafsu makan kerana kita terasa kenyang lebih lama. Ini tidak membenarkan untuk kita mengambil ayam golek seekor dan nasi biriyani segantang hanya kerana telah mengambil segelas minuman biji chia.
Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang serta bersenam adalah jalan utama untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Kalori yang diambil juga perlu diambil kira dan diselaraskan dengan pengambilan bijian chia tadi.
Buat pesakit diabetes pula, pengambilan chia juga memberikan sumber kalori dan juga gula (dikenali sebagai makanan rendah indeks glisemik). Bijian chia juga bukanlah pengganti ubat atau penyembuh diabetes anda. Rancang pemakanan dan pengambilan ubat seperti yang disaran oleh doktor yang merawat anda.
Pesakit kardiovaskular yang memgambil ubat-ubatan pencair darah seperti warfarin juga sepatutnya berjaga-jaga dengan pengambilan bijian chia ini. Sepeti yang telah disebutkan di atas, bijian chia mengandungi omega-3. Asid lemak ini mempunyai sifat antipenggumpalan darah yang mungkin akan bertindak balas secara sinergi dengan warfarin. Ini sangat membahayakan anda.
Kesimpulannya, bijian chia adalah makanan yang sihat dan selamat untuk diambil. Cuma, bijian ini adalah makanan, bukan ubat ajaib yang boleh menyelesaikan masalah kesihatan anda sekelip mata!
Rujukan:
Mohd Ali N, Yeap SK, Ho WY, Beh BK, Tan SW, Tan SG. The Promising Future of Chia, Salvia hispanica L. Journal of Biomedicine and Biotechnology. 2012;2012:171956. doi:10.1155/2012/171956.
Guevara-Cruz M et al. A dietary pattern including nopal, chia seed, soy protein, and oat reduces serum triglycerides and glucose intolerance in patients with metabolic syndrome. J Nutr. 2012 Jan;142(1):64-9. doi: 10.3945/jn.111.147447. Epub 2011 Nov 16.
de Souza Ferreira C, de Sousa Fomes L, da Silva GE, Rosa G. EFFECT OF CHIA SEED (SALVIA HISPANICA L.) CONSUMPTION ON CARDIOVASCULAR RISK FACTORS IN HUMANS: A SYSTEMATIC REVIEW. Nutr Hosp. 2015 Nov 1;32(5):1909-18. doi: 10.3305/nh.2015.32.5.9394.
Sumber: RootOfSience
Sumber : Citeheboh
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.