Organisma Terubahsuai Genetik (Genetically Modified Organism, GMO) merupakan teknik bioteknologi yang digunakan untuk memanipulasikan genetik organisma seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan untuk menghasilkan produk yang bermanfaat kepada manusia. Organisma GMO dimanipulasikan melalui teknologi kejuruteraan genetik dengan memindahkan segmen gen daripada satu organisma kepada organisma sasaran yang lain. Makanan Ubah Suai Genetik (Genetically Modified Food, GMF) merupakan produk-produk makanan seperti daging, ayam dan sayur-sayuran yang diubahsuai genetiknya. Sebagai contoh, tomato yang diberi nama Flavr savr telah diubahsuai genetiknya untuk tahan lebih lama pada musim sejuk berbanding tomato biasa dan tomato ini telah diberi kebenaran untuk ditanam dan dikomersialkan di Amerika Syarikat sejak 24 tahun yang lalu.
Kita sering dimomokkan dengan kesan sampingan yang berkait rapat dengan produk-produk GMF. Banyak pihak yang mempersoalkan tentang keselamatan produk makanan yang dihasilkan melalui teknik ini. Pelbagai kajian telah dijalankan untuk memastikan produk makanan yang dihasilkan selamat untuk digunakan. Namun terdapat juga produk yang telah diubahsuai genetiknya yang berisiko. Contoh produk GMF yang berisiko adalah Jagung Bt (Bt Corn). Bt (Bacillus thuringinesis) merupakan singkatan kepada sejenis bakteria tanah yang secara semula jadinya mempunyai bahan asas dalam menghasilkan racun serangga perosak. Apabila saintis menyuntik gen Bt ke dalam tanaman, ianya akan menghasikan tanaman yang mampu membunuh serangga perosak. Tetapi toksin Bt yang dihasilkan dalam bentuk aktif mampu membunuh serangga lain seperti rama-rama dan lebah dan tidak mustahil ianya mampu memberi impak negatif kepada kesihatan manusia.
Ada juga pihak yang mempersoalkan tentang tujuan penghasilan produk makanan GMF. Sekiranya kita melihat dari sudut sosio-ekonomi sesetengah negara mundur seperti di Asia Tenggara dan di benua Afrika, rakyat di negara tersebut kekurangan vitamin A kerana diet yang bergantung sepenuhnya kepada beras atau sumber karbohidrat yang lain. Kekurangan vitamin A mampu menyebabkan buta, membantutkan tumbesaran kanak-kanak dan mudah diserang penyakit berjangkit. Justeru, Golden Rice (sejenis beras yang mengandungi B-kerotin, yang biasanya dijumpai di dalam lobak merah) telah dicipta melalui teknologi kejuruteraan genetik untuk menangani masalah ini. Dengan pengambilan Golden Rice dalam diet harian pada tahun 2012 sahaja, seramai 2.7 juta kanak-kanak telah berjaya diselamatkan.
Jadi adakah makanan yang diubah suai genetiknya (GMF) baik untuk kita atau tidak? Semuanya terpulang kepada anda untuk menilai sendiri. Tepuk dada tanya selera.
Rujukan:
2) Golden rice project. (2016). Goldenriceorg. Retrieved 29 December, 2016, from http://www.goldenrice.org/Content3-Why/why1_vad.php
3) Webmdcom. (2016). WebMD. Retrieved 29 December, 2016, from http://ift.tt/2eOZaSZ
Sumber: RootOfSience
Sumber : Citeheboh
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.