Kisah Warden Wanita Yg Berseorangan Di Asrama. Setiap Malam Pasti Ada Sesuatu Yg … !!!| Minggu ni giliran rakan sebilik aku iaitu Ustazah Diya bertugas di bilik warden. Oleh itu, selama seminggu jugalah aku akan bersendirian di dalam bilik kecil di asrama dua tingkat ini dari jam 8 hingga 10 malam. Saat yang sangat mendebarkan bagi aku. Hampir dua bulan menjadi guru ganti di sekolah berasrama penuh di Balik Pulau, Pulau pinang ini, sudah pelbagai versi cerita seram yang aku dengar dari guru-guru lain tentang sekolah ini.
Aku membelek jam di telefon bimbitku. 7.45 malam. Sebentar lagi pasti Ustazah Diya akan keluar menuju ke bilik warden untuk menjalankan tugasnya. Usai solat maghrib dan bersiap, Ustazah Diya meninggalkan aku keseorangan di bilik ini. Seperti biasa aku akan manfaatkan waktu malam begini untuk menyemak buku-buku latihan pelajar. Sejam berlalu. Setelah penat menyemak, aku baring di atas katil sambil membelek telefon bimbit. Sedang aku leka bermain game Candycrush, aku terdengar bunyi pancuran air dari bilik mandi pelajar di tingkat atas asrama. Ish, siapa pula yang mandi kat atas ni? Makin lama makin kuat bunyinya. Aku mula rasa resah gelisah.
Untuk pengetahuan semua, setiap hari kesemua pelajar dikehendaki mengosongkan asrama pada jam 7.30 malam. Mereka dikehendaki berkumpul di surau sekolah dan mengerjakan solat maghrib secara berjemaah. Maka, warden akan memeriksa setiap tingkat dan bilik asrama pada masa tersebut bagi memastikan semua pelajar sudah keluar menuju ke surau. Pelajar hanya dibenarkan kembali semula ke asrama pada jam 10 malam selepas tamat waktu prep. Terdapat 3 orang warden ditempatkan di asrama 2 tingkat ini. Aku dan Ustazah Diya ditempatkan di tingkat bawah manakala Cikgu Laili pula ditempatkan di tingkat atas.
Minggu ni pula Cikgu Laili tiada di sekolah kerana membawa rombongan pasukan hoki sekolah ke Terengganu. Sebentar tadi memang aku dan Ustazah Diya sudah memeriksa tingkat atas dan bawah asrama. Setelah memastikan tiada pelajar lagi di kawasan asrama, kami mengunci grill pintu utama asrama. Tapi, siapa pula yang tengah mandi di tingkat atas ni? Lama juga bunyi pancuran air. Aku bangun dari katil dan mengintai di celah tingkap bilik. Dari celahan tingkap bilik aku melihat ke tingkat atas. Bunyi air masih ada namun aku gagal mengenalpasti sebarang kelibat manusia. Dalam fikiranku takkanlah ada pelajar yang terlupa nak tutup pili air sedangkan tadi tidak ada pun bunyi air. Nak naik atas dan periksa? Gila kau. Tak berani aku.
Tiba-tiba keadaan menjadi sunyi sepi. Tiada lagi bunyi air. Suasana sunyi membuatkan bulu tengkuk aku meremang. Lagi seram apabila memikirkan hanya aku seorang sahaja dalam asrama ini pada waktu sebegini. Aku belek telefon bimbitku. Baru jam 9.30 malam. Setengah jam lagi baru Ustazah Diya akan balik daripada bertugas. Dalam hati aku berdoa semoga masa berlalu dengan cepat.
Sedang aku ingin meneruskan kerja menyemak buku latihan pelajar, aku terdengar pula bunyi tapak kaki manusia berlari berkejar-kejaran di tingkat atas. Aduh, main kejar-kejar pula kali ni. Aku mula berpeluh dingin. Janganlah pula dia datang ketuk pintu bilik aku lepas ni. Lantas aku membuka alunan ayat-ayat suci dari telefon bimbitku. Buat seketika, bunyi tersebut pun beransur hilang. Aku menarik nafas lega apabila tidak lama kemudian Ustazah Diya kembali semula ke bilik. Aku pun ceritakan pengalaman seram sejuk aku tadi kepada Ustazah Diya.
Rupa-rupanya dia pun pernah mengalami gangguan yang sama pada minggu lepas semasa aku bertugas. Akhirnya, kami berdua berpandangan antara satu sama lain tanpa sepatah kata. Mujurlah kami berdua hanya sempat berkhidmat selama tiga bulan sahaja di sekolah ini.- Fiksyen Shasha.
The post Kisah Warden Wanita Yg Berseorangan Di Asrama. Setiap Malam Pasti Ada Sesuatu Yg … !!! appeared first on KISAH BENARKU.
Sumber : 1Citemalaya>
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.