'Saya tak tahu dia nak ajak tidur sama' - Pelajar Tingkatan 3 ditangkap khalwat


KUALA TERENGGANU - "Saya tidak tahu dia nak ajak tidur sini sebab dia janji nak hantar balik rumah," itu alasan yang diberikan seorang pelajar tingkatan tiga selepas ditangkap berkhalwat dengan teman lelakinya berusia 17 tahun di sebuah hotel murah di bandar Besut, Khamis lalu. 

Gadis itu yang merupakan calon ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) ditahan selepas bilik hotel yang disewa bersama kekasihnya yang juga merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diserbu sepasukan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) jam 11.30 malam. 

Serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam yang memaklumkan menjadi satu kelaziman pasangan remaja menyewa bilik-bilik hotel murah di sekitar bandar Besut terutamanya pada malam minggu. 

Siasatan JHEAT mendapati, pelajar perempuan itu sebelum ini dijemput oleh teman lelakinya dari asrama sebelum bersama-sama merancang untuk menyewa bilik di hotel terbabit sehingga Sabtu. 

"Gadis itu memberitahu kekasihnya yang juga bersekolah di sekolah berhampiran sentiasa menjemputnya balik dari asrama setiap kali ibunya tidak dapat berbuat demikian kerana terpaksa ke Kuala Lumpur. 

"Malah petang tadi (hari kejadian), dia mendakwa teman lelakinya terpaksa mengambilnya di asrama kerana ibunya tiada dan pergi ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. 

"Gadis itu mengaku menjalinkan hubungan cinta dengan kekasihnya sejak November 2016 selepas berkenalan di gerai kuih ibunya. Bagaimanapun mendakwa langsung tidak menyangka lelaki itu berani mengajaknya tidur di bilik hotel tersebut. 

"Malah dia mendakwa lelaki itu tidak pernah sesekali memaklumkan kepadanya tentang rancangan untuk bermalam di situ kerana sebelum ini lelaki itu berjanji akan menghantarnya pulang ke rumah. 

"Dalam masa yang sama, gadis itu mengakui sebelum ini teman lelakinya pernah menemaninya bermalam di rumah ketika ibunya tiada di rumah," kata Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim. 

Kedua-dua remaja terbabit dibawa ke Pejabat Agama daerah Besut untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 kerana berkhalwat. - The Reporter



Sumber : 1Citemalaya>

Sumber : Superkiram

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.