Soalan:
Saya ingin bertanya kepada Mufti, adakah baki rambut wanita yang sudah dipotong itu dikira sebagai aurat ?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan kepada Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga, para sahabat baginda, serta golongan yang mengikut jejak langkah mereka sehingga hari kiamat.
Sebelum kami mengupas isu ini dengan lebih lanjut, kami merasakan adalah wajar dan lebih utama untuk kami menjelaskan pendapat para ulama feqh berkenaan hukum seorang wanita itu memendekkan rambutnya atau memotong rambutnya terlebih dahulu.
Hukum Memotong Rambut Bagi Wanita
Terdapat sebuah riwayat daripada Abu Salamah bin Abd Al-Rahman R.anh beliau berkata:
وَكَانَ أَزْوَاجُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم يَأْخُذْنَ مِنْ رُءُوسِهِنَّ حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ
Maksudnya: Adalah isteri-isteri Nabi S.A.W mencukur rambut mereka sehinggalah ia menjadi seperti al-wafrah (rambut yang tidak melepasi paras dua cuping telinga).
Riwayat Muslim (320)
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Al-wafrah itu rambut yang lebih banyak daripada Al-Lammah. Manakala Al-Lammah itu adalah rambut yang mengurai sehingga ke bahagian bahu. Inilah pendapat yang disebutkan oleh Al-Asm’aie. Manakala pendapat lain menyebutkan bahawa Al-Wafrah itu lebih sedikit berbanding Al-Lammah, iaitu rambut yang tidak melepasi paras kedua telinga. Abu Hatim pula mengatakan Al-Wafrah itu rambut yang berada pada kedudukan atas telinga.
Kata Al-Nawawi lagi: Hadis ini merupakan dalil keharusan untuk memendekkan rambut bagi orang perempuan. Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (4/7).
Kami nyatakan di sini beberapa dhawabit (kriteria) yang disebutkan oleh para fuqaha bagi seseorang perempuan itu untuk memendekkan rambutnya. Dalam beberapa keadaan berikut, adalah tidak boleh untuk memendekkan rambutnya di antaranya seperti:
Bertujuan untuk bertabarruj dengan rambut tersebut buat lelaki ajnabi.
Jika dia memotong rambut dengan tujuan untuk tasyabbuh (menyerupai) wanita-wanita kafir atau fasiq.
Apabila potongan rambut wanita itu menyerupai keadaan rambut orang lelaki.
Jika rambutnya itu dipotong oleh orang lelaki yang ajnabi.
Sekiranya tidak mendapatkan keizinan daripada suaminya.
Justeru, jika ternafi beberapa perkara yang kami sebutkan di atas maka dibolehkan untuk seorang perempuan itu memotong rambutnya dengan bersandarkan kepada hukum asal bagi setiap perkara yang bersifat adat itu adalah harus sebagaimana yang dinyatakan di dalam kaedah usul yang masyhur.
Adakah Rambut Perempuan Yang Sudah Dipotong Itu Dianggap Sebagai Aurat ?
Dalam isu ini, tidak dinafikan bahawa para fuqaha terdahulu tidak mempunyai kesepakatan pendapat padanya. Bahkan mereka berbeza pendapat kepada dua pandangan yang utama.
Pendapat Pertama: Rambut Perempuan Yang Telah Dipotong Adalah Aurat
Di dalam mazhab Imam Al-Syafie, para pembesar mazhab ini kebanyakannya berpendapat bahawa rambut wanita yang terpisah daripada badannya itu tetap dianggap sebagai aurat yang haram dilihat oleh lelaki ajnabi. Ini dapat dilihat daripada beberapa kenyataan tokoh-tokoh mazhab tersebut.
Kata Imam Abu Bakr Al-Dimyathi Rahimahullah: Setiap apa yang haram untuk dilihat daripada orang lelaki atau orang perempuan semasa berada pada tubuh badannya, ia juga haram untuk dilihat apabila sudah terpisah daripada badannya. Ia seperti rambut perempuan dan juga bulu kemaluan lelaki. Maka wajib untuk disembunyikan. Lihat I’anah Al-Thalibin, Al-Dimyathi (3/303).
Syeikh Dr. Wahbah Al-Zuhaili Rahimahullah mengatakan: Setiap yang haram untuk dilihat ketika ia bersambung dengan anggota badan, haram juga untuk dilihat apabila ia terpisah dari badan. Sekalipun setelah kematian. Ia seperti bulu kemaluan (aurat) sekalipun milik seorang lelaki, juga rambut orang perempuan, serta kuku kakinya dan tidak termasuk kuku tangannya menurut ulama bermazhab Hanafi, sedangkan di sisi Al-Syafieyyah kuku jari di tangan juga turut termasuk, maka disunatkan untuk menyembunyikannya supaya tidak ada seorang pun yang dapat melihatnya. Dan terdapat pengecualian terhadap rambut-rambut yang terjatuh di dalam bilik air kesan daripada sikatan rambut orang perempuan atau cukuran bulu kemaluan lelaki. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, Dr. Wahbah Al-Zuhaili (3/568).
Pendapat Kedua: Rambut Wanita Yang Sudah Terpisah Dari Badan Bukan Aurat
Ini adalah pendapat yang disebutkan oleh para ulama bermazhab Hanbali. Kata Al-Syeikh Abdul Qadir Bin Umar Al-Syaibani Rahimahullah: Maka tidak boleh untuk seorang lelaki itu memandang sedikitpun daripadanya (orang perempuan) sekalipun rambutnya yang bersambung. Adapun rambut yang terpisah daripada wanita ajnabi maka dibolehkan untuk seorang lelaki itu menyentuhnya serta memandang ke arahnya. Sekalipun ia merupakan bahagian aurat, ini kerana telah hilangnya keharamannya disebabkan terpisahnya ia dari jasad. Rujuk Nail Al-Maarib, Abdul Qadir Al-Syaibani (2/138).
Ini juga merupakan salah satu pendapat yang dhaif dalam mazhab Al-Syafie. Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi.
Kesimpulan
Setelah kami meneliti beberapa pendapat di atas, kami lebih cenderung kepada satu pendapat dalam mazhab Hanbali bahawa telah hilangnya pengharaman melihat kepada aurat yang terpisah dari wanita. Ini kerana, telah terpisahnya ia dari tubuh badan. Di samping itu, kerana terdapat kesukaran untuk membezakan di antara rambut lelaki dan juga perempuan kerana terdapat kemungkinan rambut itu bukan sahaja dari orang lelaki dan perempuan dewasa. Barangkali ia datang dari kanak-kanak perempuan yang belum baligh. Ini juga sepertimana yang difatwakan oleh Syeikh Dr. Wahbah Al-Zuhaili Rahimahullah tentang rambut-rambut yang dikecualikan daripada pengharaman sepertimana yang kami nukilkan sebelum ini.a
Kami juga menyatakan, perbuatan memotong rambut sendiri dan ditunjukkan dengan sengaja kepada lelaki ajnabi adalah tidak dibenarkan seperti yang dinyatakan dalam mazhab Al-Imam Al-Syafie.Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
via Bin Usrah
Sumber : Gengviral
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.