Dalam al-Fiqh al-Manhaji berkata: “Allah SWT suka kepada orang yang bersih daripada hadas dan kekotoran, sama ada kekotoran zahir atau batin.”
Mandi menurut bahasa ialah mengalirkan air ke atas apa-apa sahaja. Manakala pada syara’ pula ialah mengalirkan air ke atas badan dengan niat yang tertentu. Mandi telah disyariatkan oleh Allah SWT sama ada untuk kebersihan ataupun untuk mengangkat hadas dan sama ada ia menjadi syarat sah ibadat ataupun tidak. Firman Allah SWT:
وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَٱعْتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: Haid itu adalah suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh. Dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri. (Surah al-Baqarah: 222)
Berkenaan dengan mandi secara telanjang, terdapat dalil yang menunjukkan keharusannya. Antaranya hadis Abu Hurairah RA bahawa Nabi Musa AS mandi dalam keadaan tidak berpakaian di tempat yang jauh daripada orang ramai. Sabda Nabi SAW:
كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ يَغْتَسِلُونَ عُرَاةً، يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ، وَكَانَ مُوسَى يَغْتَسِلُ وَحْدَهُ، فَقَالُوا وَاللَّهِ مَا يَمْنَعُ مُوسَى أَنْ يَغْتَسِلَ مَعَنَا إِلاَّ أَنَّهُ آدَرُ، فَذَهَبَ مَرَّةً يَغْتَسِلُ، فَوَضَعَ ثَوْبَهُ عَلَى حَجَرٍ، فَفَرَّ الْحَجَرُ بِثَوْبِهِ، فَخَرَجَ مُوسَى فِي إِثْرِهِ يَقُولُ ثَوْبِي يَا حَجَرُ. حَتَّى نَظَرَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ إِلَى مُوسَى، فَقَالُوا وَاللَّهِ مَا بِمُوسَى مِنْ بَأْسٍ. وَأَخَذَ ثَوْبَهُ، فَطَفِقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا
Maksudnya: “Dahulu Bani Israel mandi telanjang, mereka saling melihat satu sama lain. Sementara Nabi Musa as mandi seorang diri. Orang-orang Bani Israel berkata :’Demi Allah, tidak ada yang mencegah Musa mandi bersama kita kecuali kerana dia mengidap penyaki aadar.’ Suatu ketika Nabi Musa pergi mandi, baginda meletakkan pakaiannya di atas batu, lalu batu itu membawa lari pakaiannya. Maka Musa pun mengejarnya (batu itu), seraya berkata : ‘Hai batu, pakaianku!’. Akhirnya, orang-orang Bani Israel pun melihat Musa. Lalu mereka berkata : ‘Demi Allah, ternyata Musa tidak mengidap penyakit apa pun.’ Musa berjaya mengambil pakaiannya, lalu memukul batu tersebut dengan satu pukulan. Abu Hurairah berkata : “Demi Allah, bekas (pukulan) Nabi Musa pada batu itu sama dengan pukulan enam atau tujuh batu”Riwayat al-Bukhari (no: 274)
Begitu juga terdapat hadis sahih menceritakan bahawa Nabi Ayub AS mandi tanpa seurat benang. Sabda Nabi SAW:
بَيْنَا أَيُّوبُ يَغْتَسِلُ عُرْيَانًا فَخَرَّ عَلَيْهِ جَرَادٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَجَعَلَ أَيُّوبُ يَحْتَثِي فِي ثَوْبِهِ، فَنَادَاهُ رَبُّهُ يَا أَيُّوبُ، أَلَمْ أَكُنْ أَغْنَيْتُكَ عَمَّا تَرَى قَالَ بَلَى وَعِزَّتِكَ وَلَكِنْ لاَ غِنَى بِي عَنْ بَرَكَتِكَ
Maksudnya : Sewaktu Nabi Ayyub AS mandi dalam keadaan bogel/telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujur Ayyab, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan-Mu.” Riwayat al-Bukhari (279)
Bahkan Imam al-Bukhari sendiri dalam Sahihnya meletakkan bab Orang yang mandi berseorangan dalam keadaan bersendirian, dan orang yang menutup aurat, maka menutup aurat adalah lebih baik.
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari berkata: Imam al-Bukhari menggunakan hadis tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Ayyub ini sebagai hujah bahawa dibolehkan bertelanjang ketika mandi. Ha ini kerana, menurut Ibn Battal bahawa Nabi Musa dan Nabi Ayyub adalah Nabi yang kita diperintahkan untuk mengikuti mereka. Tetapi kaedah pendalilan dari hadith ini tepat jika kita berpegang kepada prinsip kaedah dalil syarak para Nabi terdahulu sebelum syariat kepada Nabi Muhammad dan berpegang ia adalah syarak bagi kita juga. Kemudian, Ibn Hajar berkata bentuk pendalilan yang lebih jelas ialah dengan mengatakan Nabi SAW menceritakan kisah dua Nabi ini, tanpa memberi sebarang komentar dari sudut mereka mandi telanjang. Ini bermakna syarak mereka dalam hal ini bersamaan dengan syarak kita.
Kesimpulannya, hukum mandi telanjang adalah makruh dan sebahagian Syafieyyah menguatkan pendapat haram. Al-Hafiz berkata: “Yang masyhur adalah makruh jika bersendirian.”
Justeru, sah mandi dalam keadaan telanjang tetapi hendaklah tidak di tempat terbuka atau dapat dilihat oleh orang lain. Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.” Riwayat al-Bukhari (no: 24)
Akhukum Fillah
Sumber: Mufti WP
via Bin Usrah
Sumber : Gengviral
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.