Bayar Hutang Dhuha: Pengganti Sedekah


Tahukah anda, kemungkinan kita pernah kehilangan sesuatu kerana jarangnya kita menunaikan solat sunat Dhuha.

Satu ilmu yang saya juga baru tahu dan rasa terpanggil untuk berkongsi dengan anda adalah ilmu mengenai solat Dhuha.

Jika anda mengenali nama ini, seorang ustaz dari Indonesia bernama Ustaz Yusuf Mansur, pasti anda tahu betapa beliau sangat memperjuangkan dan membudayakan kelebihan dan manfaat melakukan solat Dhuha dan sedekah di negaranya.

Di dalam buku beliau bertajuk “Undang saja Allah; Belajar Syukur, Belajar Yakin” beliau memperkenalkan konsep “Hutang 2 Rakaat Dhuha”.

Di dalam buku tersebut beliau membahaskan konsep bahawa sebenarnya kita sudah terlalu banyak berhutang dengan Allah SWT.

Pada hakikatnya, kiita terlupa untuk “membayar” bayaran atas pinjaman Allah SWT yang tiada galang gantinya kerana saban hari kita meminjam sepasang mata, tangan, kaki, jantung serta organ kita yang lain daripada Allah SWT.

Oleh kerana Allah SWT tahu bahawa kita tidak akan mampu membayar semua nikmat tersebut menggunakan wang, oleh itu Dia dengan kasih sayangNya mensyaratkan bahawa solat sunat Dhuha dua rakaat sebagai bayaran paling mampu dilunaskan oleh si hamba.

Seperti yang tercatat dalam satu hadis,

 Pada setiap manusia terdapat tiga ratus empat puluh sendi. Setiap satu sendi harus disedekahi olehnya.’ Para sahabat bertanya, ‘Siapakah yang sanggup melakukannya wahai Rasulullah SAW ?’ Rasulullah SAW bersabda, ‘Jika terdapat kotoran di masjid, tutuplah dengan tanah (buang dan bersihkan), dan jika ada sesuatu yang merintangi jalanan, jauhkanlah. Jika engkau tidak sanggup melakukannya maka solat Dhuha dua rakaat sebagai gantinya bagimu. (HR. Imam Ahmad)
Dan menurut riwayat yang lain,

 Setiap pagi semua anggota badan masing-masing dari kalian wajib disedekahi. Setiap kali tasbih adalah sedekah. Setiap kali tahmid adalah sedekah. Setiap kali tahlil adalah sedekah. Setiap kali takbir adalah sedekah. Amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah sedekah. Semuanya terpenuhi dengan dua rakaat solat Dhuha. (HR. Muslim)
Melalui hadis diatas, semakin jelas kepada kita bahawa selama ini rupa-rupanya kita sudah banyak berhutang dengan Allah SWT. Ada di antara kita yang berumur 20, 30 malah mungkin 50 tahun, akan tetapi baru tahu akan hal ini.

Kita baru tahu yang kita sebenarnya sedang berhutang dengan Allah SWT. Bahkan ini baru hutang Dhuha, belum lagi dikira hutang solat wajib, hutang zakat, juga hutang yang lain-lainnya. Pasti tidak terhitung kiraannya.

Jika setahun kita berhutang Dhuha 2 rakaat, jika dikira sehingga saat ini agak-agak berapa rakaat yang perlu kita lunaskan pada Allah SWT? Jika setiap tahun mempunyai 365 hari di-darabkan dengan 2 rakaat Dhuha yang ditinggalkan, jumlah hutang Dhuha kita pada Allah setahun adalah sebanyak 730 rakaat. Maka jika 10 tahun ia mencecah 7300 rakaat. Masha Allah!

Bagaimana pula jika 20 atau 30 tahun? Sungguh banyak, bukan?

Persoalannya di sini, adakah betul kita harus membayar hutang-hutang tersebut? Jika ya, bagaimanakah cara mahu melakukannya?

Untuk menjawab persoalan tersebut, saya ingin berkongsi apa yang diceritakan ustaz Yusuf Mansur di dalam buku tersebut tentang perihal ini.

Seorang pekerja kerajaan telah datang bertemu dengan beliau selepas beliau menyampaikan satu ceramah dan pekerja tersebut menceritakan bahawa beliau terkena suatu musibah.

Wang tabungan yang sudah dikumpul selama setahun telah hilang kerana dicuri. Agak besar jumlahnya. Beliau sangat tertekan dengan hal tersebut dan pergi menemui Ustaz Yusuf Mansur. Ustaz lantas bertanya,

“Ada mengamalkan solat Dhuha atau tidak selama ini?” Lalu pekerja itu menjawab bahawa beliau tidak mengamalkannya, atau jika mempunyai masa senggang untuk melakukannya pun, agak jarang sekali beliau menunaikan solat sunat tersebut.

Kemudian secara langsung ustaz menjawab,

“Patutlah Allah mengambil (melalui pencuri) duit tersebut, diambil Allah wang tersebut untuk ‘bayar’ hutang rupanya”.

Begitu juga jika kita berbisnes atau berniaga, setelah sekian lama berniaga, namun kita masih tidak dapat membuat simpanan, itu mungkin kerana kita tidak mengamalkan solat Dhuha selama ini.

Berbalik kepada persoalan bagaimanakah kita ingin membayar hutang-hutang Dhuha yang lalu, adakah kita perlu solat sunat Dhuha tanpa henti supaya hutang-hutang kita terbayar?

Adakah kita perlu bersedekah supaya hutang kita itu dapat dilunasi? Anda rasa bagaimana? Mengikut cadangan Ustaz Yusuf Mansur di dalam buku tersebut, beliau ada berkongsi sedikit tips dan cara bagaimana kita boleh membayar hutang-hutang Dhuha kita.

Seseorang bernama Saifullah telah menghantar satu pesanan ringkas kepada ustaz :

 Ustaz, saya baru terbaca tentang hutang Dhuha di program Dhuha Coffee ustaz. Saya termasuk orang yang mempunyai hutang Dhuha dengan Allah. Saya kini berumur 34 tahun 2 bulan. Ertinya jika saya akil baligh umur 10 tahun, saya sudah berhutang 24 tahun. Dalam sekitar 8,760 hari itu saya berhutang 17,520 rakaat. Mungkin ini sebabnya saya merasakan hidup saya kurang diberkati. Sekarang bagaimanakah saya mahu melunasinya? Wassalam

Antara tips ustaz yang sangat menarik dan relevan untuk diaplikasikan adalah melalui menyeru orang lain juga untuk mula mengamalkan solat sunat Dhuha. Ya, ceritakan juga akan konsep hutang Dhuha ini kepada sebanyak mungkin orang yang anda kenali. Dengan cara ini sahajalah hutang-hutang anda mampu dilunasi kerana setiap kali orang lain berbuat kebaikan yang mereka peroleh hasil inspirasi melalui anda, secara langsung anda akan mendapat pahala. Kebaikan dan amalan yang mereka lakukan secara tidak langsung akan menjadi saham pahala anda juga.

Namun, pasti akan ada yang bertanya, “ Tetapi bukan semua orang pandai dan arif untuk menceritakan perkara-perkara sebegini kepada orang lain.” Pasti akan terdetik difikiran sesetengah diantara kalian.

Jika anda tidak mampu menceritakan tentang konsep hutang Dhuha, apa kata anda mulai dengan mengajak orang melakukan solat sunat Dhuha mengikut keadaan dan tahap yang anda selesa.

Jika anda mempunyai Blog atau Facebook, WhatsApp, Telegram, Wechat dan sebagainya, cuba galakkan orang lain supaya berjinak untuk tunaikan solat sunat Dhuha.

Jika anda sebagai ketua jabatan, sediakan masa 10 minit sebelum memulakan kerja dan mengajak pekerja bawahan anda melakukan solat sunat Dhuha.

Jika anda seorang pengacara Radio atau Televisyen, selitkan manfaat dan kelebihan Dhuha dalam percakapan anda melalui pesanan langsung kepada para pendengar.

Jika anda seorang pemimpin, nasihatilah dan berikan suntikan motivasi tentang kelebihan berdhuha kepada rakyat jelata.

Jika anda seorang guru atau pensyarah, sediakan waktu untuk mengajak para pelajar menunaikan solat sunat Dhuha  pada setiap pagi.

Namun, jangan sekadar menyuruh, ceritakan juga kepada mereka kelebihan melakukan solat Dhuha agar mereka lebih bermotivasi.

Setiap di antara anda mampu membayar hutang tersebut jika anda berterusan menyeru dan memotivasikan orang di sekeliling anda tentang kelebihan solat sunat Dhuha.

Oleh kerana penulis juga merasakan bahawa diri penulis juga mempunyai banyak hutang Dhuha, maka penulis merasakan ianya amat penting untuk berkongsi akan konsep ini.

Moga-moga jika ada di antara kalian mula mengamalkan dan juga menyebarkan kepada orang ramai, harapnya akan terlunas juga hutang Dhuha kita semua.

Semoga amalan kita diterima sebagai amalan soleh. InsyaAllah.

via Bin Usrah

Sumber : Gengviral

Sumber : Superkiram

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.