Sekian lama Bilal Bin Rabah menjadi Muazzin Rasulullah. Namun, selepas kewafatan baginda, Bilal tidak mahu lagi menjadi Muazzin. Kata Bilal;
“Biarkan aku jadi muazzin Nabi saja. Nabi sudah tiada, maka aku bukan muazzin siapa-siapa lagi.”
Ternyata Bilal ketika itu tidak dapat menahan kesedihannya mengenangkan Rasulullah. Beberapa kali Bilal cuba melaungkan azan di bumi Madinah, tetapi acapkali Bilal tidak dapat meneruskan azan. Seluruh hatinya rindukan Rasulullah pada saat melaungkan azan, orang yang paling dicintainya itu sudah tidak ada lagi disisinya.
Bukan saja Bilal tak mahu lagi menjadi Muazzin, bahkan Bilal tidak sanggup lagi untuk tinggal di bumi Madinah. Demi mengubat kerinduannya yang tidak tertahan, Bilal ingin pergi mengikuti ekpedisi jihad di bumi Syam.
Tetapi Saidina Abu Bakar yang dahulunya pernah membebaskan Bilal daripada menjadi hamba tidak sanggup membiarkan Bilal pergi. Bukanlah Abu Bakar ingin memaksa Bilal. Tetapi Abu Bakar tidak mahu Bilal berpisah daripada sisinya.
Bilal tekad mahu pergi juga. Bilal mendesak Abu Bakar;
“Dulu semasa engkau membebaskanku dari seksaan Umayyah bin Khalaf. Apakah engkau membebaskanku kerana dirimu atau kerana Allah? Jika engkau membebaskanku kerana dirimu, maka aku bersedia jadi muazzinmu. Tetapi jika engkau dulu membebaskanku kerana Allah, maka biarkan aku dengan keputusanku.”
Akhirnya, Abu Bakar tidak mampu menghalang tekad Bilal itu.
Bilal pun pergi ke Syam. Sehingga agak lama Bilal tidak mengunjungi Madinah. Tetapi rindu Bilal terhadap Rasulullah tidak pernah padam. Satu hari Bilal bermimpi bertemu Rasulullah. Dikatakan Rasulullah bersabda dalam mimpi itu;
“Mengapa engkau hambar wahai Bilal, Tidakkah engkau mahu menziarahi kami?”
Terkejut Bilal dengan mimpi itu, Bilal berasa seolah-olah Rasulullah memanggilnya untuk kembali ke Madinah. Lalu Bilal menyiapkan diri untuk memulakan perjalanan ke Madinah untuk menziarahi bumi Rasulullah yang sekian lama dia tinggalkan.
Sesampai di Madinah. Kebetulan Bilal sampai pada waktu Subuh, Bilal lihat tidak ada muazzin untuk azan pada waktu itu. Lalu Bilal pun naik ke tempat yang tinggi. Lalu azan;
“Allahu akbar….” “Asyhaduallailaha illallah…..”
Mendengar Azan Bilal itu. Semua penduduk Madinah terkejut. Para sahabat yang pernah bersama-sama mendengar azan Bilal menangis teresak-esak. Muazzin Rasulullah sudah kembali. Suara Bilal yang telah bertahun-tahun hilang, telah mengembalikan kenangan dan nostalgia bersama Rasulullah. Pagi itu dikatakan paling ramai orang lelaki mahupun perempuan menangis.
Sehingga sampai Bilal menyebut kalimah;
“Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah…”
Suara Bilal tersekat-sekat. Lalu diam lama untuk dia meneruskan azan. Sehingga orang mula berpusu-pusu datang, Bilal masih lagi tidak mampu meneruskan azan. Tidak tertahan jiwa Bilal mengenangkan Rasulullah, lebih-lebih lagi menyebut namanya. Sehinggakan terpaksa orang lain menggantikan Bilal untuk meneruskan azan pada subuh itu.
Sejak itu suara Bilal tidak lagi mengumandangkan azan. Orang yang digelar Sayyidul Muazzinin (Pemimpin segala Muazzin) itu tidak lagi naik ke tempat tinggi untuk melaungkan kalimah suci. Sehinggalah dia wafat di Syam pada 17 Hijrah, ketika berusia 60 tahun. Ketika ajalnya telah hampir tiba, Bilal memanggil isterinya seraya berkata;
“Alangkah gembiranya kalau esok aku akan berjumpa dengan kekasihku Rasulullah dan sahabatnya.”
RUJUKAN
Imam Adz Zahabi, 2011. Ringkasan Siyar A’lam An Nubala’: Biografi Sahabat, Tabiin, Tabiut Tabiin, dan Ulama Muslim. Jakarta: Pustaka Azzam
RUJUKAN
Imam Adz Zahabi, 2011. Ringkasan Siyar A’lam An Nubala’: Biografi Sahabat, Tabiin, Tabiut Tabiin, dan Ulama Muslim. Jakarta: Pustaka Azzam
Sumber : thepatriots
via Bin Usrah
Sumber : Gengviral
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.