Cemburu atau jealous adalah satu sifat semula jadi yang dimiliki oleh setiap manusia, terutama kaum wanita. Mereka berasa cemburu dengan golongan wanita itu sendiri. Bahkan, banyak riwayat yang menceritakan tentang kecemburuan para isteri Nabi SAW antaranya Aisyah r.anha,
Diriwayatkan daripada Aisyah r.anha;
“Aku tidak pernah cemburu kepada seorang wanita pun (dalam kalangan isteri Nabi SAW) sepertimana cemburuku kepada Khadijah, sedangkan dia telah wafat tiga tahun sebelum Rasulullah SAW mengahwiniku.”(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Persoalannya, apakah faktor yang membuatkan kaum wanita berasa cemburu? Mengapa?
#1 – Sifat Semulajadi
Tidak dinafikan, sifat cemburu ada dalam diri setiap manusia. Namun, cara kita mengawal perasaan inilah yang membezakan antara kita dengan orang lain. Janganlah cemburu itu pula yang menguasai diri kita sehingga mengabaikan tanggungjawab lain yang lebih utama.
#2 – Kurangnya Bersyukur
Cemburu juga mungkin disebabkan kita tidak bersyukur dengan segala nikmat atau apa jua yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita. Yakinlah, setiap apa yang dikurniakan Allah kepada setiap orang itu pasti ada hikmahnya, bukan untuk dicemburui.
#3 – Mahukan Perhatian, Pujian Dan Sanjungan
Wanita memang sifatnya mahukan perhatian dan pujian, lebih-lebih lagi dari pasangannya. Cemburunya Aisyah r.anha terhadap Khadijah adalah disebabkan pujian dan sanjungan yang sering dilontarkan oleh Rasulullah SAW mengenai Khadijah, sekalipun Khadijah sudah lama wafat.
#4 – Berasa Tersisih Dan Dipinggirkan
Darjat wanita di sisi Islam amat tinggi setelah Rasulullah SAW diutuskan sekaligus menghapuskan kejahilan orang Jahiliah dahulu yang menanam hidup-hidup anak perempuan. Oleh itu, perlakukanlah wanita sebaiknya. Mungkin cemburu itu hadir apabila wanita berasa dirinya dipinggirkan atau disisihkan oleh orang sekeliling.
#5 – Tidak Memiliki Kelebihan Tertentu
Setiap orang dikurniakan kelebihan dan keistimewaan tertentu. Sebagai contoh, pandai menjahit, memasak, melukis, menulis, berniaga, membuat kek dan pelbagai lagi. Sudah tentu, ada yang ingin berjaya dan menjadi seperti itu. Tetapi ada yang gagal apabila cuba untuk melakukannya.
Positiflah dengan diri, bahawasanya setiap orang itu miliki keistimewaan tersendiri. Cuba cari apa yang istimewa dalam diri kita dan tidak ada pada orang lain.
#6 – Sentiasa Mencari Salah Orang Lain
Kadang, orang yang dicemburui itu tidak berbuat apa-apa tetapi masih tetap dibenci dan dimusuhi. Mungkin, kerana sikap (orang yang cemburu) sendiri yang suka mencari kesalahan orang lain.
Bagi yang mengalami situasi sebegini iaitu orang yang dicemburui tanpa apa jua sebab, bersabarlah. Biarlah perilaku orang pada kita, tapi kita jangan sesekali memperilakukan orang lain sebegitu.
#7 – Terlalu Menyayangi
Ada juga wanita yang kuat cemburu kerana terlampau kasih dan sayang pada pasangan. Ini kerana dia bimbang, jika pasangannya itu rapat dengan orang lain dan mengabaikan dirinya. Juga, bimbang jika hati pasangannya beralih pada orang lain. Sebab itu, cemburu wanita ini kadang bersebab bukan kerana mengada-ngada.
#8 – Berasa Diri Tidak Sempurna
Ada juga wanita yang berasa cemburu dengan orang lain kerana dirinya memiliki kekurangan yang tidak mampu dibendung, iaitu tidak dapat melahirkan anak. Wanita akan berasa dirinya kurang sempurna jika tidak dapat melahirkan zuriat. Hati mana yang tidak sedih jika keadaan begini bukan? Lebih-lebih lagi, apabila rasa dipandang serong oleh orang sekeliling. Bersabarlah.
Renungilah kisah Sarah dan Hajar, keduanya adalah isteri Nabi Ibrahim a.s. Cemburunya Sarah kepada Hajar adalah kerana Sarah tidak mampu melahirkan zuriat untuk Ibrahim a.s. Disebabkan tidak mampu menahan rasa cemburu, Sarah meminta suami yang dicintai itu untuk membawa Hajar dan bayinya keluar dari rumah mereka.
Jika isteri para nabi juga memiliki perasaan cemburu sedemikian, apatah lagi kita wanita biasa. Namun, atas kesabaran Sarah akhirnya mereka dikurniakan juga zuriat sekalipun ketika usia sudah lanjut. Sungguh, kisah mereka ternyata mengandungi hikmah yang cukup mendalam dalam hal ini sebagai pengajaran umat terkemudian.
Dan, sebenarnya mungkin ada faktor lain yang tidak dinyatakan di sini. Hal ini bergantung kepada setiap individu. Apapun, yakin dan positiflah bahawasanya keistimewaan yang dianugerahkan bagi setiap orang itu sudah pasti ada hikmahnya.
Cemburu itu biarlah berpada-pada. Usah terbawa-bawa hingga kepada perkara yang tidak sepatutnya. Sesungguhnya, Islam mengajarkan kepada umatnya tentang konsep ta’awun iaitu bantu-membantu dalam perkara kebaikan, bukan saling mencemburui akan rezeki atau hak milik orang lain yang kita tidak miliki.
Percayalah, setiap aturan Allah SWT itu semuanya baik. Fikir yang baik-baik dan doakan yang baik-baik. Wallahua’lam.
Sumber : tazkirah.net
via Bin Usrah
Sumber : Gengviral
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.