PERANG HUNAIN : SATU PENGAJARAN DARI SATU KEKALAHAN


Penaklukan dan pembukaan Mekah oleh umat islam telah mengundang kepada ketidaksenangan kebanyakan kaum musyirikin di persekitaran Mekah terutama daripada puak Hawazin dan Thaqif. Mereka ini antara golongan yang terkejut, malah kebingungan dengan kejayaan umat islam membuka kota Mekah namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa tetapi mereka juga tidak dapat menerima hakikat ini.

Dengan itu, mereka merancang untuk membuat serangan ke atas umat islam. Kaum musyrikin yang telah berpakat ini membawa segala kelengkapan perang mereka termasuk harta dan keluarga mereka untuk turut serta di dalam perang ini dan mereka berkumpul di satu kawasan bernama Autas yang berhampiran Lembah Hunain. Dan mereka diketuai oleh Malik bin Auf.

Bagi mengelakkan pertambahan pihak musyrikin yang mungkin akan menyertai puak Hawazin dan Thaqif ini maka Rasulullah s.a.w membuat keputusan untuk menyerang kaum musyrikin ini. pada 6 Syawal tahun 8 Hijrah bersama-sama 12,000 tentera muslimin, Rasulullah meninggalkan kota Mekah menuju ke Lembah Hunain. Tentera muslimin terdiri daripada 10,000 umat islam yang membuka kota Mekah dan 2,000 lagi adalah mereka yang baru sahaja memeluk islam setelah pembukaan kota Mekah.

Mendengarkan berita daripada agen perisikan tentera musyrikin yang Rasulullah telah keluar menuju ke Lembah Hunain dan akan menuju ke markas tentera puak Hawazin dan Thaqif, Malik bin Auf mula menyusun strategi untuk mengalahkan tentera islam secara total. Tenteranya ditempatkan di sepanjang pintu masuk Lembah Hunain dengan askar-askarnya diletakkan di setiap lorong, setiap ruang dan setiap lubang. Mereka ini diarahkan untuk menyerang hendap tentera islam serta merta apabila tentera islam mula memasuki Lembah Hunain.

Dengan tentera islam yang terdiri daripada bilangan yang ramai, ada di antara mereka mengatakan: “Di hari ini kami tidak akan terkalahkan”
Kata-kata ini telah sedikit sebanyak menarik perhatian Rasulullah bersama-sama dengan permintaan seorang tentera islam agar disediakan sepohon kayu untuk menjadi tempat meletakkan barang-barang perang yang menjadi kebiasaan bagi kaum arab dalam perang yang kaum musyrikin turut memiliki pohon kayu seperti itu pada waktu itu.

Pada pagi 11 Syawal pertempuran antara tentera islam dan tentera musyrikin berlaku.

Khalid Al-Walid mengetuai batalion yang mengetuai batalion lain memasuki Lembah Hunain. Sebaik sahaja mereka memasuki Lembah Hunain, tanpa disangka-sangka, mereka dihujani dengan bilahan anak panah daripada pelbagai arah dan disertai dengan serangan oleh tentera musyrikin. Serangan yang tiba-tiba ini telah menyebabkan tentera islam kehilangan punca dan dalam kebingungan dan haruk piruk, mereka telah berundur ke belakang.

Rasulullah ketika itu berada di batalion belakang dengan para sahabat lain kemudiannya memanggil tentera islam untuk tenang dan kembali ke dalam barisan. Terdapat tentera islam yang terus melarikan diri daripada medan perang kerana serangan hendap yang tidak disangka-sangka daripada pihak musyrikin sehinggakan Abu Sufyan mengatakan: “mereka ini tidak akan berhenti kecuali tentera islam telah berundur ke Laut Merah”.

Melihat keadaan yang tidak terkawal untuk beberapa ketika, akhirnya Rasulullah tampil ke barisan hadapan tentera islam dan melaungkan,"Allahhu Akbar!!"
Laungan daripada Rasulullah ini telah mendapat sahutan daripada tentera islam dan mereka kembali berkumpul di sekeliling Rasulullah dan menyusun barisan. Kemudian mereka mara untuk menyerang tentara musyrikin. Maka berlaku pertempuran antara tentera islam dan tentera kafir.

Rasulullah kemudiannya mengambil segenggam pasir dan ditiupkan kepada pihak musuh dengan doa agar diberi bantuan oleh Allah dalam memerangi pihak kufar. Pasir ini terbang kepada wajah-wajah orang kafir dan dinamik peperangan semakin berubah dengan orang-orang kafir semakin berundur dan lebih banyak kematian disaksikan pada pihak kafir. Dan kemenangan perang ini menjadi milik tentera Islam.

Pada peperangan inilah Allah menurunkan ayat:
” Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu kamu menjadi bongkak kerana banyaknya jumlah kamu.maka jumlah yang banyak tidak memberi faedah kepada kamu sedikit pun dan bumi yangluas terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tiada melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir dan demikian penbalasan kepada orang-orang kafir “. (al-Taubah: 25 - 26)

Di dalam perang Hunain ini juga terkait suatu kisah yang amat menyentuh perasaan, menggamit hati para pencinta Rasulullah saw.

Ketika berlakunya upacara membahagikan ghanimah (harta rampasan peperangan), Rasulullah saw telah berkenan untuk menyerahkan ghanimah kepada orang Quraisy yang baru memeluk Islam.

Tindakan ini telah menyebabkan kaum Ansar kurang senang dan ada antara mereka mengatakan; "semoga Allah mengampuni Rasul-Nya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita padahal pedang-pedang kita masih meneteskan darah mereka”
Rasulullah saw mendengar berita tersebut dan baginda mengumpul kaum Ansar dan bersabda;

“ Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita kemudian Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”
Setiap kali Rasulullah saw bertanya, mereka menjawab,” Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.
Selanjutnya Rasulullah saw bertanya,: "Hai kaum Ansar, mengapa kamu tidak menjawab?”

Mereka berkata, ” Apa yang hendak kami katakan wahai Rasulullah? Dan bagaimana kami harus menjawab? Kemuliaan bagi Allah dan RasulNya”.
Rasulullah saw melanjutkan. ” Demi Allah, jika kamu mahu, tentu kamu mengatakan yang sebenarnya; “ Anda datang kepada kami sebagai orang yang didustakan kemudian kami benarkan. Anda datang sebagai orang yang dihinakan kemudian kami bela. Anda datang sebagai sebagai seorang yang menderita kemudian kami santuni”
Kaum Ansar menyambut dengan hiba; ” Kemuliaan itu bagi Allah dan RasulNya!”
Rasulullah saw meneruskan, ” Hai kaum Ansar, apakah kalian jengkel kerana tidak menerima sejumput sampah dunia yang tiada nilainya? Dengan “sampah” itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa. Demi Allah yang nyawa Muhammad ditanganNya, kalau bukan kerana hijrah ini nescaya aku menjadi salah seorang Ansar. Seandainya orang lain berjalan di lereng gunung dan kaum Ansar juga berjalan di lereng gunung yang lain, aku pasti turut berjalan di lereng gunung ditempuhi kaum Ansar. Sesungguhnya kamu akan menghadapi diskriminasi sepeninggalanku maka bersabarlah hingga kalian berjumpa denganku di telaga (syurga). Ya Allah, limpahkanlah rahmat-Mu kepada kaum Ansar, kepada anak-anak kaum Ansar, kepada cucu kaum Ansar”.
Mendengar ucapan Nabi saw itu, kaum Ansar menangis hingga janggut mereka basah kerana air mata. Mereka kemudian menjawab "Kami rela mendapatkan Allah dan RasulNya sebagai pembahagian dan jatah kami”.
Dalam medan pertempuran dalam kita menghadapi musuh, kita memerlukan persiapan dari pelbagai segi: bilangan yang cukup, keperluan yang lengkap dan kesediaan fizikal yang mantap.

Namun jangan kita lupa akan persiapan dasar yang paling utama iaitu ketaqwaan dan keimanan. Pada luarannya, tentera islam telah memenangi peperangan fizikal namun, kekalahan dalam lebih memainkan peranan.

Dalam peperangan Hunain inilah kita dapat lihat akan kesilapan yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam perang kerana merasa yakin dengan bilangan mereka dan merasa takbur dengan kekuatan mereka.Ini ditambah lagi dengan kejayaan umat islam dalam menakluk dan membuka kota mekah daripada tangan musyrikin.

Perang Hunain ini adalah satu bentuk tarbiyah yang diberikan oleh Allah. Kerana sayangnya Allah kepada hambaNya, maka diberikan kekalahan pada peringkat awal dalam peperangan ini. Allah menjadikan bumi yang kelihatan luas ini sempit pada pandangan umat islam kerana sifat jahiliyah yang tersorok dalam hati mereka.

Imam Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa Allah memberikan kekalahan supaya mereka (tentera islam) merasa akan kepahitan kekalahan kemudian barulah diberikan kemenangan supaya kepala yang ditegakkan kerana kemenangan menakluk Mekah dapat ditundukkan supaya malu di hadapanNya.

Agar mereka tidak dapat mengatakan: “kemenangan ini kerana bilangan kami”
Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama dalam perjuangan kita iaitu tarbiyah ketuhanan. Kerana ini adalah pendorong yang dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allah sebagaiman firmannya:

“sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128)

“Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi Allah” (An-Nisaa:78)

Kita berusaha dalam menyediakan keperluan lain seperti fizikal, senjata dan tenaga manusia. Namun sumber kekuatan yang paling utama adalah iman dan taqwa kerana itulah yang kekal di sisiNya. Segala ketentuan dan keputusan akan terpulang padaNya untuk memberikan kepada siapa yang dikehendakiNya. Persiapan harta dan fizikal tidak kekal, motivasi yang datang dari sumber yang tidak kekal juga tidak kekal. Harta dunia akan hilang, senjata akan patah namun iman yang bersinar akan terus bersinar dan datang darinya kekuatan yang memberi kemenangan dalam perjuangan Rasulullah beserta para sahabat.

Kerana itu Imam Hassan al-Banna memastikan keimanan sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjuangan Ikhwan Muslimin yang dapat membentuk jiwa dan roh yang hidup dengan sinar islam. Kerana dalam perjuangan yang panjang dan jauh pasti akan hanya mendatangkan keletihan bagi jiwa-jiwa yang tidur dan lemah, kosong daripada nilai keimanan. Namun diyakini, jiwa yang hidup dan tersinar darinya pancaran islam yang tidak putus pasti akan dapat mendatangkan kekuatan yang akan memastikan setiap ikhwah itu akan terus berada di dalam jalan juang yang panjang dan jauh ini.

Juga pada kisah yang penuh emosi dan kesedihan Nabi kerana kaum Ansar tidak berpuas hati kepada pembahagian ghanimah, dapat dipelajari betapa hikmahnya tindakan Nabi saw. Juga betapa sayangnya Nabi saw kepada sahabat-sahabatnya dari kaum Ansar. Kaum Ansar yang terdiri dari sahabat-sahabat agung juga terasa hati dengan tindakan Nabi. Namun mereka menginsafi kesalahan mereka, mereka menangis teresak-esak mengakui kesalahan mereka sehingga air mata membasahi wajah dan janggut mereka.

Alangkah terharunya kita membawa kisah yang hebat ini, dari Nabi kita dan para sahabat. Hendaklah ia dijadikan iktibar pada kita selaku duah yang menjalankan dakwah Allah di muka bumi.
Semoga selawat tercurahkan kepadamu wahai Rasulullah, juga kepada para sahabatmu yang mulia dari kaum Anshar dan Muhajirin. Semoga Allah berkenan menghimpun kami di bawah panjimu yang mulia dan menjadikan kami beserta orang-orang yang akan menemuimu di telaga pada hari kiamat.

Sumber: http://ift.tt/2rFSTyY


via Bin Usrah

Sumber : Gengviral

Sumber : Superkiram

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.