Individu beragama Islam amat tidak digalakkan untuk mengucapkan “Rest in Peace” (RIP) kepada seorang yang bukan Islam apabila berlaku kematian.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha, berkata ucapan berkenaan mempunyai implikasi dari sudut akidah sekiranya tidak difahami secara jelas kerana ia merupakan amalan keagamaan orang bukan Islam yang sepatutnya tidak diikuti oleh orang Islam.
”Dalam konteks ucapan Rest in Peace, ia adalah bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18.
Ia juga biasanya diukir di batu nisan mereka yang telah meninggal dunia dalam kalangan masyarakat Kristian.
”Versi penuh ucapan tersebut yang berasal daripada bahasa Latin adalah ‘May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace’.
”Ia juga mengandaikan orang bukan Islam berkenaan akan mendapat rahmat daripada Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan Fatwa Malaysia dalam laman Facebooknya 17 April lalu berkenaan isu ucapan tersebut yang menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.
Othman berkata penjelasan Fatwa Malaysia dalam laman sosial itu merupakan penjelasan hukum dan nasihat yang diberikan oleh Felo Fatwa berdasarkan kemusykilan dan persoalan yang dikemukakan masyarakat umum, dan ia bukan fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Katanya, Islam melarang umatnya mendoakan untuk keampunan bagi orang bukan Islam seperti yang dijelaskan dalam al-Quran, Surah Taubah, ayat 113 dan dinyatakan juga oleh Imam an-Nawawi dalam Kitab al-Majmu.
Bagaimanapun, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, Islam tidak melarang umatnya mengucapkan rasa simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yng meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti ‘saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda’, katanya.
“Panduan hukum yang diberikan mengenai ‘Rest in Peace’ ini bukan merupakan fatwa, tetapi ia perlu dijadikan panduan oleh umat Islam kerana panduan ini berdasarkan nas-nas yang jelas selaras dengan hukum syarak,” katanya.
Othman juga menasihatkan semua pihak agar tidak mempolemikkan isu itu kerana pandangan hukum yang dikeluarkan adalah sebagai panduan dan nasihat khusus kepada umat Islam dan sama sekali tiada kaitan dengan unsur-unsur penghinaan atau menidakkan hak kehormatan dan kemanusiaan mana-mana pihak atau individu. –BERNAMA
Sumber : sentiasapanas.com
via Bin Usrah
Sumber : Gengviral
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.