Soalan:
Assalamualaikum wbt,
Saya sudah berkahwin. Sewaktu isteri saya selesai tempoh haid, saya terus melakukan hubungan seksual dengannya tanpa menunggunya mandi wajib terlebih dahulu. Adakah saya berdosa? Saya adukan hal ini kepada sebahagian pihak dan mereka menjawab saya wajib membayar kafarah. Benarkah hal itu? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Adapun berkenaan dengan soalan yang ditanyakan, di dalam mazhab Imam al-Syafie, haram hukumnya seorang suami menyetubuhi isterinya dalam keadaan haid, atau dalam keadaan sudah terhentinya darah haid tetapi belum mandi. Ini berdalilkan firman Allah Taala:
وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.
(Surah al-Baqarah, 222)
Maka hukumnya berdosa besar bagi seseorang lelaki menyetubuhi isteri ketika haid, secara sengaja, mengetahui hukum haramnya, dan tanpa lupa dan dipaksa. Maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat. Suami juga disunatkan membayar kaffarah kepada golongan faqir atau miskin menggunakan matawang Islam, iaitu emas tulen.
Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas r.a.:
إِذَا وَاقَعَ الرَّجُلُ أَهْلَهُ وَهِيَ حَائِضٌ إِن كَانَ دَمًا أَحْمَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِدِينَارٍ وَإِن كَانَ أَصْفَرَ فَلْيَتَصَدَّقْ بِنصْفِ دِيْنَارٍ
Maksudnya: Jika seorang lelaki menyetubuhi isterinya sedangkan dia sedang haid, jika darahnya berwarna merah maka hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar dan jika darahnya kekuningan maka hendaklah dia bersedekah dengan separuh dinar
Riwayat Abu Daud. Al-Hakim mensahihkannya.
Bayaran itu hendaklah dibayar oleh si suami dan bukan si isteri kerana lelaki itu yang menyetubuh. Begitu juga jika dia bersetubuh apabila berhentinya darah haid tetapi belum mandi, maka keadaan wanita itu dianggap sama seperti yang keluar darah kekuningan. Ertinya, sunat dibayar denda separuh harga dinar.
Rujuk al-Iqna` oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (146-147)
Satu dinar adalah 4.25 gram emas dan separuh dinar adalah 2.125 gram. Manakala jenis emas yang mempunyai ketulenan yang tinggi adalah 24 karat (24k).
Justeru dalam kes di atas, hendaklah si suami bertaubat nasuha atas kesilapan yang dilakukan. Sunat dilakukan solat sunat taubat dan juga membayar kafarah separuh dinar emas kepada faqir dan miskin, walaupun kepada seorang.
Semoga Allah menerima taubat kita dan memperbaiki urusan kita.
Wallahua’lam.
Sumber :muftiwp
Sumber :muftiwp
via Bin Usrah
Sumber : Gengviral
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.