Elakkan 6 Kemungkaran Ini Yang Biasa Dilakukan Ketika Hari Raya Aidilfitri

Image result for Elakkan 6 Kemungkaran Ini Yang Biasa Dilakukan Ketika Hari Raya Aidilfitri


Hari Raya Aidilfitri. Bila sebut perkataan ini, semua akan tersenyum. Ia menandakan kemenangan umat Islam berjaya menyempurnakan bulan Ramadhan yang mulia dengan jayanya. Ia merupakan perayaan yang paling meriah di Malaysia. Setiap lapisan masyarakat Islam, tak kira tua atau muda, miskin atau kaya, meraikannya dengan begitu gembira. Tak cukup dengan itu, rakyat berbilang kaum yang lain turut sama memeriahkan sambil mengeratkan silaturahim sesama mereka.
Namun di dalam menyambut hari yang mulia ini, perlu kita menjaga adab-adab dan batas-batas yang telah ditetapkan syarak. Setiap apa yang dibenarkan oleh Islam pasti ada batasnya, ia bagi menjaga maruah dan kemaslahatan serta menjaga imej Islam itu sendiri. Sebagai manusia, kita tidak terlepas dalam melakukan kesilapan, lebih-lebih lagi ketika kita sedang bergembira dan mungkin terlupa diri.
iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 6 amalan atau kesalahan yang perlu dielakkan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma nanti.

1. Berpakaian tidak menutup aurat dan meniru kafir


Perkara ini semakin berleluasa zaman ini. Umum tahu bahawa kita mempunyai pakaian tradisional sendiri seperti baju melayu dan baju kurung yang sememangnya melambangkan identiti Melayu, namun kini ia semakin rosak akibat perubahan zaman. Segala jenis pakaian tradisional mahu diubahsuai dan dimodenkan, bak kata mereka mahu ikut peredaran zaman. Paling teruk terbaru tular baju raya wanita yang dikeluarkan oleh pereka fesyen yang seolah-olah getah melekat di badan, sehinggakan menampakkan bentuk badan seperti berbogel. 
Hari Raya Aidilfitri sepatutnya disambut dengan kesyukuran, bukanlah disambut dengan melakukan dosa yang mana kita berhempas pulas berdoa di bulan Ramadhan agar dosa kita diampunkan. Ada pula yang memasukkan gaya-gaya barat ke dalam fesyen kita sehinggakan tidak mencerminkan budaya dan agama Islam, dan seolah-olah ingi meniru pakaian orang kafir. Rasulullah S.A.W bersabda :
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
”Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk bagian dari mereka”[1] Menyerupai orang kafir (tasyabbuh) ini terjadi dalam hal pakaian, penampilan dan kebiasaan. Tasyabbuh di sini diharamkan berdasarkan dalil Al Qur’an, As Sunnah dan kesepakatan para ulama (ijma’).

2. Wanita ber-tabarruj


Maksud perkataan "tabarruj" menurut Abu 'Ubaidah adalah seorang wanita menampakkan kecantikannya manakala menurut al-Zujaj, ia bermaksud menampakka perhiasan dan semua perkara yang boleh merangsang syahwat lelaki. Ini sememangnya tidak dapat dipisahkan lagi dengan wanita. Zaman moden ini, ia sudah menjadi perkara biasa, tidak ada apa lagi yang hendak dimalukan, malah yang menegur pula akan berasa malu. 
Sebetulnya adalah berhias diri bagi wanita itu hanyalah diistimewakan kepada suaminya dan di rumah sahaja, bukannya untuk dipertontonkan dan dibanggakan di khalayak umum. Namun, Hari Raya Aidilfitri seolah-olah menjadi medan pertunjukkan di mana wanita-wanita akan bersiap, bersolek dan berhias serta dipakaikan wangi-wangian untuk kelihatan cantik di mata umum terutamanya lelaki. Kita faham semua gembira dan teruja untuk berhari raya, namun perlulah mengikut batas yang ditetapkan syariat. Jangan jadikan hari mulia ini sebagai permulaan kepada buku dosa kita.
Ianya amat jelas adalah haram, seperti apa yang difirmankan Allah S.W.T:
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu ber-tabarruj seperti orang-orang jahiliyyah pertama.” (Surah Al Ahzab: 33).

3. Bersalaman dengan bukan mahram


Perkara yang biasa dilakukan dan tidak disedari akan kesalahannya, bukan sahaja di Hari Raya namun hari-hari biasa. Tetapi ditekankan pada hari raya ini kerana kita akan mengunjungi dan dikunjungi keluarga dan rakan, jadi akan berlaku terlalu banyak perjabatan tangan. Ketika inilah kita perlu berjaga-jaga, walaupun hanya bersalaman dengan bukan mahram, tidak kelihatan seperti satu kesalahan, tetapi ia merupakan satu perbuatan zina tangan.
Rasulullah S.A.W bersabda:
كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنَ الزِّنَى مُدْرِكٌ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الاِسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلاَمُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ
“Setiap anak Adam telah ditakdirkan bagian untuk berzina dan ini suatu yang pasti terjadi, tidak bisa tidak. Zina kedua mata adalah dengan melihat. Zina kedua telinga dengan mendengar. Zina lisan adalah dengan berbicara. Zina tangan adalah dengan meraba (menyentuh). Zina kaki adalah dengan melangkah. Zina hati adalah dengan menginginkan dan berangan-angan. Lalu kemaluanlah yang nanti akan membenarkan atau mengingkari yang demikian.”
Jadi, jika ada bukan mahram dengan anda ingin bersalaman, tolak lah dengan cara yang baik, tanpa menyinggung perasaan mereka. Dan janganlah anda malu untuk tidak bersalaman kerana hanya ini menjaga muka dan "cool" anda kerana ianya adalah haram.
Senarai mahram (boleh bersentuhan) bagi wanita:
mahram bagi perempuan

4. Ziarah kubur di Aidilfitri

ziarah kubur
Sememangnya kita diperintahkan untuk menziarahi kubur, kerana ia adalah perbuatan yang akan mengingatkan kita kepada kematian yang boleh memberi keinsafan kepada diri supaya sentiasa mendekatkan diri dengan Allah. Rasulullah S.A.W bersabda: 
فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ
“Sekarang ziarahlah kubur kerana itu akan lebih mengingatkan kematian. "
Namun, ia telah menjadi budaya dalam masyarakat kita untuk hanya menziarahi kubur hanya pada Hari Raya Aidilfitri. Ini tidak bertepatan dengan anjuran Islam. Dengan menjadikan Hari Raya sebagai hari khas untuk menziarahi kubur, secara tak langsung kita akan melawat kubur tersebut hanya setahun sekali, dan setelah beberapa ketika, kita akan cenderung untuk terus tidak menziarahi lagi. 

5. Mengabaikan solat


Apabila terlebih seronok menyambut Aidilfitri, ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjungi, pastinya kita akan terleka. Oleh sebab terlalu sibuk bersilaturahim, kita terkadang lupa akan kewajipan kita sebagai seorang Islam, iaitu solat 5 waktu. Memenuhi undangan rumah terbuka dari pagi hingga ke malam, disulami dengan menjamah makanan tidak terkira membuatkan kita lemah dan letih seterusnya menyebabkan kita tertinggal solat, apatah lagi untuk solat berjemaah.
Tidak lupa juga tersekat di dalam traffic jam dan membuatkan kita tidak menunaikan solat. Apa makna Aidilfitri bagi kita jika kita menyambutnya dengan keseronokan dunia dan melupakan tanggungjawab kita sebagai orang Islam, yang mana kita tak pernah terlepas untuk solat sunat Tarawih untuk sebulan yang lalu? Rasulullah S.A.W bersabda:
الْعَهْدُ الَّذِى بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
“Perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) adalah mengenai solat. Barangsiapa meninggalkannya maka dia telah kafir.”

6. Pembaziran mercun dan bunga api


Bermain mercun dan bunga api adalah satu kewajipan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Tanpa bunga api, tak lengkaplah perayaan ini. Namun kita perlu tahu akan hukumnya. Selain daripada mengganggu ketenteraman penduduk sekitar dan boleh membahayakan orang ramai, ia juga merupakan satu pemborosan yang nyata, kerana wang yang digunakan untuk membeli mercun dan bunga api sebenarnya lebih baik diberikan kepada orang fakir miskin, yang ternyata masih ramai dikalangan kita.
Namun, jika ianya bertujuan untuk menggembirakan kanak-kanak dan tidak mendatangkan kemudaratan, serta dibeli dengan harga yang murah, hukumnya adalah makruh. Makruh itu sudah tidak baik dan adalah lebih baik ditinggalkan, apatah lagi jika membeli dengan harga yang mahal, haram hukumnya.
Semoga Aidilfitri kali ini disambut dengan lebih meriah dan lebih beriman mengikut syariat Islam yang sebenar. Semoga kita sentiasa berada di dalam rahmat Allah S.W.T.

Wallahualam.
Sumber : http://iluminasi.com



via Bin Usrah

Sumber : Gengviral

Sumber : Superkiram

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.