BANGKOK, THAILAND - Seorang lelaki yang terdesak, memasuki sebuah balai polis di Bangkok dengan membawa sebilah pisau yang besar di tangannya.
Anggota polis, Anirut Malee, yang berada di balai pada ketika itu tenang dan tidak menggunakan pistolnya untuk menangani situasi itu. Sebaliknya, Anirut memilih untuk duduk di meja berhampiran dan mula bercakap dengan lelaki terbabit.
Dalam masa yang sama, Anirut dengan tenang cuba meminta lelaki terbabit yang masih menghunus pisau ke arahnya untuk menyerahkan pisau itu. Tanpa disangka, lelaki itu menuruti arahan Anirut dan serta-merta menyerahkan senjata tersebut.
Setelah pisau itu diserahkan, Anirut perlahan-lahan menghampiri lelaki itu dan memberikan pelukan kepada lelaki berusia lingkungan 45 tahun itu yang menangis teresak-esak.
Selepas berjaya memeluk dan menenangkannya, Anirut segera melemparkan pisau itu arah kanan. Lelaki itu berulang kali memohon maaf kepada semua anggota polis yang berada di balai berkenaan.
Melihat lelaki itu berada dalam keadaan tertekan, Anirut sekali lagi cuba menenangkan dan memberinya sebotol air mineral.
"Dia sebelum ini pernah menjadi ahli muzik, tetapi kini dia baru saja bekerja sebagai pengawal keselamatan selama tiga hari dan belum mendapat gaji harinya.
"Punca sebenar kejadian ini ialah gitar kesayangan dia telah dicuri, menyebabkan dia sangat tertekan lalu mengambil tindakan tersebut.
"Saya dengar luahannya dan bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap dirinya. Dan saya juga berkata saya ada gitar dan akan diberikan kepada dia selain mencadangkan kami patut keluar makan bersama selepas ini," kata Anirut.
Lelaki yang tidak dinamakan itu kemudian dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Difahamkan, tiada sebarang dakwaan yang akan dikenakan terhadap lelaki terbabit.
Video yang dimuat naik oleh Newsner.com itu pada jam 9.26 malam semalam telah ditonton 53 juta kali, 771 ribu likes dan dikongsi sebanyak 1,193,042 kali oleh pengguna Facebook.
Sumber : Gengviral
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.