Hebatnya Seorang Ibu, Doanya Tiada Hijab

Image result for Hebatnya Seorang Ibu


Suatu masa kita pernah disentuh dengan satu kisah penghijrahan individu yang dikenali dengan nama Abang Long Fadil. Daripada seorang yang jauh dari agama, akhirnya beliau menjadi ikutan bagi mereka yang mahu memperbaiki diri agar menjadi hamba yang disayangi Allah.
Hidayah itu milik Allah. Namun, dalam kisah penghijrahan beliau, ada usaha dari insan terpenting dalam hidupnya dan kita percaya ia membuka jalan penghijrahan beliau.
Ibunya mengakui melakukan doa yang tidak putus-putus kepada Allah untuk anaknya di saat cemuhan diterima daripada orang sekelilingnya. Sedikit pun tidak membuatkan beliau berputus asa malah yakin anaknya akan kembali ke pangkal jalan. Kuasa doa seorang ibu. Anaknya akhirnya berubah menjadi semakin dekat dengan Allah.
Ada apa dengan doa seorang ibu? Doa seorang ibu dan ayah adalah yang terbaik selain doa orang yang dizalimi dan doa orang musafir. Ini adalah berdasarkan hadith yang bermaksud; Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda:
“Tiga doa yang mustajab, tanpa syak lagi; doa orang dizalimi, doa orang musafir dan doa bapa kepada anaknya.”(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Seorang ibu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Malah, seorang ibu wajib ditaati oleh anaknya selagi mana tidak mengajar kepada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Ibu adalah orang yang paling mengenali diri kita berbanding insan lain, paling banyak kasihnya, dan mempertaruhkan nyawa semasa melahirkan kita. Justeru, reda dan doa seorang ibu amat diperlukan bagi mengisi perjalanan hidup.
Kisah ahli ibadah bernama Juraij juga amat terkenal jika disebut mengenai doa seorang ibu dan keutamaan mendahulukan ibu dalam urusan. Juraij yang sedang bersolat dipanggil oleh ibunya. Dia membuat keputusan untuk tidak menyahut panggilan ibunya dan meneruskan solatnya. Keadaan itu berlaku selama beberapa kali sehinggalah pada suatu hari ibunya bersumpah,
“Ya Allah, janganlah Engkau matikan dia, sehingga ia menghadapi fitnah melakukan hubungan dengan pelacur!”
Dengan sumpahan itu, Juraij menerima ujian besar iaitu difitnah oleh seorang pelacur yang mendakwa Juraij mempunyai hubungan dengannya.
Dalam kisah Juraij ini, ditunjukkan bahawa doa seorang ibu itu dimakbulkan Allah. Selain itu, jika seorang ibu atau bapa memerlukan anaknya sedangkan anaknya sedang bersolat sunat, maka dibenarkan untuk membatalkan solat sunatnya. Kuasa berdoa juga terlihat pada keadaan Juraij semasa meminta pertolongan kepada Allah saat dirinya difitnah dan Allah memakbulkan doanya.
Kita sudah biasa mendengar kisah kehebatan doa seorang ibu. Malah ia wujud dalam cerita rakyat kita. Sejak kecil kita mengetahui kisah Si Tanggang yang menderhaka kepada ibunya. Kerana amat sedih dengan sikap anaknya itu, si ibu berdoa agar anaknya bertukar menjadi batu. Maka, Si Tanggang pun bertukar menjadi batu.
Ia dijadikan kisah untuk mengingatkan anak-anak agar tidak menderhaka kepada ibu mereka dan hebatnya doa seorang ibu yang boleh dikabulkan sekelip mata.
Ibu selalu mendoakan anak mereka terutama semasa hari-hari penting seperti semasa hendak menghadapi peperiksaan, semasa anak-anak mula menimbulkan masalah dan semasa mereka mencari pekerjaan.
Tapi, suka untuk saya mengingatkan kita semua bahawa doa untuk anak-anak bukanlah terhad kepada hal tertentu sahaja, bukan semasa marah dan bukan semasa hati kecewa. Doa untuk anak-anak lebih cantik jika disebut pada setiap masa, tidak khusus kepada peristiwa terpilih sahaja.
Ini lebih penting bila kita kini sudah mengetahui akan kedudukan doa seorang ibu di sisi Allah SWT. Inilah ruang dan peluang agar anak-anak kekal mendapat keredaan kita dan keredaan Allah dalam setiap nafasnya. Semoga kita tidak pernah lupa untuk mendoakan bimbingan dan petunjuk Allah SWT kepada anak-anak pada setiap masa agar sama-sama menjadi penghuni syurga Allah sebagai sebuah keluarga.
Sumber : tazkirah.net


via Bin Usrah

Sumber : Gengviral

Sumber : Superkiram

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Note: only a member of this blog may post a comment.