KUCHING, SARAWAK - Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah agama menengah menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas doktor mengesahkan otot paha koyak dan ada tisu rosak selepas didenda gurunya kerana tidak menghantar tugasan subjek pendidikan seperti yang diminta, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa, Muhammad Nur Haikal Shamsudin, 16, dan beberapa pelajar lain mendakwa didenda gurunya melakukan ketuk ketampi, lompatan 'squat', tekan tubi dan 'sit up' sebagai denda.
Bapa mangsa, Shamsudin Seri, 42, berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu pada Khamis lalu selepas Haikal tiba-tiba mengadu sakit pada paha selain tidak dapat berjalan.
"Anak saya pada awalnya tidak mahu menceritakan apa yang berlaku. Namun selepas dipujuk, dia akhirnya memaklumkan dia telah didenda oleh guru kerana tidak menghantar tugasan," katanya.
Mangsa memberitahu, dia bersama beberapa pelajar lain diminta melakukan ketuk ketampi sebanyak 200 kali, lompatan 'squat' (200 kali), tekan tubi (300 kali) dan 'sit up' (300 kali) dalam tempoh selama satu jam yang bermula dari jam 11.20 pagi hingga 12.20 tengah hari.
"Melihat keadaan dia yang semakin tidak bermaya, kami kemudian membawanya ke HUS dan pemeriksaan doktor mengesahkan otot paha anak kami koyak selain ada tisu yang koyak," katanya.
Ekoran kejadian yang menimpa Haikal, ibu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gita, Jumaat lalu, untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa.
"Banyak cara untuk mendidik, namun memilih mendendea murid sehingga mendatangkan kecederaan serius sepatutnya tidak berlaku dan seorang guru itu perlu berfikir lebih matang dan tidak bertindak mengikut emosi.
"Saya serahkan kes ini untuk tindakan selanjutnya daripada polis dan berharap ada penyelesaian yang dapat diperoleh secepat mungkin," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar mengesah pihaknya menerima laporan dari ibu mangsa berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon memaklumkan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan guru wanita terbabit boleh dikenakan tindakan tatatertib jika didapati melakukan tindakan itu.
"Ini bukan kes dera tetapi kes mendidik melampau yang dilakukan oleh guru sekolah berkenaan. Keluarga pelajar terbabit sudah membuat laporan polis dan Jabatan Pendidikan Sarawak masih menunggu laporan penuh kejadian." katanya.
Sementara itu di media sosial, netizen melemparkan komen-komen yang mendakwa mangsa terlalu lembik dan dimanjakan.
Sumber : Gengviral
Sumber : Superkiram
Note: only a member of this blog may post a comment.